Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

​​​SISTEM SMART Q DILARATKAN PENGGUNAANNYA KE BAHAGIAN VISA, LAWATAN DAN DIPLOMATIK DAN BAHAGIAN PEKERJA ASING

  1. Dalam usaha mempertingkatkan lagi mutu pemberian perkhidmatan kepada pelanggan, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) sukacita memaklumkan bahawa perkhidmatan tempahan awal melalui Sistem Smart Q menggunakan Applikasi QueUP yang telah dilaksanakan sebelum ini bagi perkhidmatan di Bahagian Kad Pengenalan dan Bahagian Dokumen Perjalanan, Ibu Pejabat, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan akan dilaratkan lagi perkhidmatannya ke Bahagian Visa, Lawatan dan Diplomatik dan juga di Bahagian Pekerja Asing, Ibu Pejabat, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan bermula pada 1 Februari 2018.  

  2. Pada peringkat permulaan ini, perkhidmatan tempahan awal melalui Sistem Smart Q menggunakan Aplikasi QueUP ini akan dilaksanakan bagi permohonan penyambungan pas lawatan dan pas penuntut, pengambilan kebenaran visa dan permohonan visa masuk semula (re-entry visa) di Bahagian Visa, Lawatan dan Diplomatik manakala bagi Bahagian Pekerja Asing, perkhidmatan tempahan awal ini akan dibukakan bagi permohonan penyambungan atau pembatalan pas kerja/pas tanggungan/pas penuntut bagi perkhidmatan syarikat. JIPK seterusnya memaklumkan bahawa permohonan secara walk-in sepertimana yang dibuat sebelum ini akan masih dijalankan seperti biasa seiring dengan tempahan awal menggunakan Aplikasi Que-up.

     
  3. Sistem Smart Q menggunakan Applikasi QueUP ini adalah bertujuan untuk memudahkan orang ramai membuat tempahan awal slot nombor giliran mengikut tarikh dan masa yang bersesuaian bagi perkhidmatan yang telah disediakan. Tempahan melalui sistem Smart Q dengan menggunakan Aplikasi QueUP ini boleh dibuat sekurang-kurangnya sehari sebelum cadangan tarikh membuat permohonan perkhidmatan berkenaan dan pemohon dinasihatkan supaya akan dapat hadir sekurang-kurangnya 15 minit sebelum masa tempahan.

  4. Orang ramai bolehlah memuat turun Aplikasi QueUP dari AppStore atau GooglePlay dan seterusnya mengikuti arahan tatacara untuk membuat tempahan nombor giliran bagi permohonan perkhidmatan yang diperlukan melalui Aplikasi berkenaan.

  5. Berikutan ini, JIPK juga ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa perkhidmatan bagi permohonan dokumen perjalanan atau pasport Negara Brunei Darussalam secara Tempahan Awal melalui panggilan telefon yang telah digunakan sejak 1 Mac 2017 akan ditiadakan bermula 15 Februari 2018.

  6. JIPK menyarankan kepada orang ramai untuk menggunakan kemudahan tempahan awal melalui aplikasi QueUP ini bagi memudahkan urusan dan menjimatkan waktu menunggu bagi mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan di Bahagian Kad Pengenalan, Bahagian Dokumen Perjalanan, Bahagian Pekerja Asing dan Bahagian Visa, Lawatan dan Diplomatik di Ibu Pejabat, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.

  7. Sebarang maklumat lanjut mengenai Sistem Smart Q berkenaan, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan melalui www.immigration.gov.bn.

SALMINAN BIN HAJI BURUT

Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan

Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan

Negara Brunei Darussalam

 

14 Jamadilawal 1439/31 Januari 2018

Attachments
Created at 31/01/2018 16:59 by Abdul Mu'iid Bin Mustaffa
Last modified at 27/04/2019 15:44 by Dk Noor Athirah Binti Pg Sabli