HUBUNGI KAMI
MAKLUMAT TERKINI & BERITA
MUAT TURUN BORANG
HALAMAN UTAMA
STRUKTUR ORGANISASI
SEJARAH RINGKAS
TENTANG JIPK

PERKHIDMATAN
Hak Cipta Terpelihara© Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
Tarikh dikemaskini: 22 Oktober 2009
Sesuai dipapar menggunakan:
Mozilla Firefox dengan resolusi 800x600


Imigresen gempur tapak pembinaan

KUALA BELAIT, 1 Jun. - Bahagian Penguat Kuasa Undang-Undang Jabatan Imigresen Kuala Belait diketuai Pegawai Imigresen Kanan hari ini membuat operasi pemeriksaan di sekitar kawasan Seria, Kuala Belait.

Dalam operasi yang bermula kira-kira pukul 9 pagi itu, dua projek pembinaan dan pengubahsuaian rumah di kawasan Jalan Perakong Seria dan Kampung Badas Seria diperiksa.


Antara pekerja asing yang diperiksa dalam operasi itu.

Menurut kenyataan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran hari ini, 14 pekerja asing diperiksa dan hasil pemeriksaan seorang rakyat asing ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri manakala tiga Pas Khas dikeluarkan kepada tiga warga asing bagi pengesahan dan siasatan lanjut bahagian ini.

Bahagian Penguat Kuasa Undang-Undang akan sentiasa mengadakan rondaan dan operasi pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi mengesan dan membanteras pesalah Imigresen yang melanggar peraturan di Brunei.

Bahagian itu juga menasihatkan kepada majikan agar sentiasa memastikan pekerja mereka dibekalkan dengan dokumen pengenalan diri yang sah dan memastikan pekerja bertugas mengikut jawatan yang ditetapkan serta bekerja di tempat dibenarkan.

Bagi sebarang maklumat mengenai kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen dan aktiviti yang meragukan, orang ramai boleh menghubungi terus talian hotline 8753888 dan 8734888 pada bila-bila masa sahaja. Sebarang maklumat dan pemberi maklumat akan dirahsiakan.[Dipetik dari Akhbar Media Permata].

 


Empat warga asing menyalahgunakan
pas melawat imigresen

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 3 Jun. - Pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang telahpun membuat pemeriksaan mengejut ke sebuah pejabat dan stor penyimpanan barang, bilamana kehadiran pegawai bertugas tidak disedari oleh pekerja di tempat berkenaan yang sedang melakukan tugas-tugas harian mereka.

Dalam pada itu, didapati empat orang (2 lelaki / 2 perempuan), pemegang pas melawat dipercayai menyalahgunakan pas Imigresen, salah seorang darinya bekerja sebagai jurujual (salesman).


PEGAWAI bertugas semasa membuat catatan ke atas pesalah imigresen yang didapati bekerja (kiri) dan seorang perempuan warga asing sedang bekerja dengan menyalahgunakan pas imigresen (kanan).

Keempat mereka ini telahpun dibawa ke pejabat bagi siasatan lanjut dan didapati juga seorang pekerja perempuan warganegara asing jaminan majikan lain dan melakukan pekerjaan bukan sepertimana yang tercatat di dalam pasport, Pas Khas (Special Pass) telahpun dikeluarkan ke atasnya.

Permis berkenaan ada mempunyai dua pekerja warganegara Brunei dan lima pekerja warganegara asing yang didapati bekerja dengan jaminan majikan yang sama.

Di samping itu juga bahagian ini ada menemukan "kod bar" yang mengandungi tarikh sah (expired date ke atas barang makan) di dalam komputer kerja dan telahpun dicetak serta diguna pakai ke atas barang yang ada.

Secara keseluruhan stor berkenaan tempat menyimpan barang makanan ringan dan makanan barang dalam tin.

Terdapat di satu sudut barang makanan yang dibungkus dengan kotak yang baru dan di satu sudut lain terkumpul barang yang telahpun luput tarikh mansuh penggunaannya.


SEBUAH mesin 'bar kod ' dengan menggunakan komputer juga didapati bagi menggantikan barangan yang sudah luput tarikh mansuhnya untuk diganti dengan tarikh yang baru (kiri) dan makanan ringan yang sudah luput tarikh mansuhnya dimuatkan ke dalam plastik baru (kanan).

Warga negara asing diingatkan agar tidak menyalahgunakan pas mereka dan pihak majikan juga diingatkan agar tidak akan mengambil bekerja pesalah Imigresen atau akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) akan sentiasa menjalankan atau melaksanakan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan sama ada secara persendirian atau bersama dengan agensi penguatkuasaan yang lain yang dinilai mengikut keperluan maklumat yang terkumpul.

Ke arah aktiviti penguatkuasaan tersebut jabatan ini mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah Imigresen.

Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya dengan menghubungi ke talian Hotline JIPK di talian 8753888 dan 8734888.[Dipetik dari Akhbar Pelita Brunei].

 


Ops Rundau serbu lokasi judi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jun - Dua belas orang warga negara asing dibawa ke Balai Polis Pusat BSB bagi siasatan lanjut berhubung dengan kegiatan judi, hasil daripada Ops Rundau 69/2011 Bersepadu Pasukan Polis dan Bahagian Pencegah Jabatan Kastam dan Eksais Diraja pada Sabtu lalu, menurut satu kenyataan hari ini.

Operasi yang melibatkan 54 orang pegawai dan diketuai oleh Ketua Pegawai Imigresen dan ketua setiap agensi terlibat itu dibuat di dua lokasi iaitu di tempat tinggal pekerja dan bilik sewa di sebuah bangunan persendirian di Mukim Gadong pada lewat malam hingga awal pagi hari berkenaan.

Dalam operasi itu juga sebanyak satu pas khas dikeluarkan. Operasi dibuat bertujuan untuk menyatupadukan agensi-agensi penguat kuasaan di negara ini dengan berkongsi maklumat dan menguat kuasakan undang-undang serta peraturan bagi mengelak daripada maklumat berganda, menurut kenyataan.

Dalam serbuan yang dirancang dengan teliti dan teratur itu, pihak berkuasa berkenaan mengepung sebuah bilik dan mendapati beberapa lelaki warga negara asing sedang asyik bermain judi jenis ketam-ketam.

Ada di antara mereka yang cuba melarikan diri dengan memecahkan dinding bilik dan kemudiannya bersembunyi di kawasan semak samun berhampiran, melalui sungai berdekatan dalam keadaan gelap. Mereka bagaimanapun berjaya diberkas.

Dua lagi lelaki ditemui bersembunyi dengan berhimpit-himpit di belakang peti sejuk di ruang dapur.

Hasil pemeriksaan juga menemui sejumlah wang dan alat perjudian. Kedua-duanya dijadikan bahan bukti dan kes dikendalikan oleh pihak polis. Selain daripada itu sejumlah minuman keras turut ditemui di dalam peti sejuk dan beberapa kotak rokok tanpa amaran kesihatan Negara Brunei Darussalam di dalam almari pakaian. Barangan berkenaan dirampas dan ditangani oleh Bahagian Pencegah Kastam.

Sementara itu dalam serbuan berasingan di sebuah bilik sewa di Gadong, Bahagian Penguatkuasa Imigresen menemui dua botol minuman keras, lapan bungkus kotak rokok dan satu plastik berisi tembakau. Kesemua barang berkenaan dirampas dan kes dikendalikan oleh Bahagian Pencegah Kastam.

Orang ramai dialu-alukan untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan dengan menghubungi talian hotline 8734888 dan 8753888.[Dipetik dari Akhbar Media Permata].

 


Empat warga asing
dipercayai menyalahgunakan pas imigresen

BRUNEI MUARA, Selasa, 7 Jun. - Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) telah mengadakan pemeriksaan mengejut ke atas premis perniagaan dan perniagaan nasi katok dan gerai menjual sayur-sayuran, serta sebuah stor penyimpanan tile kelmarin yang tertumpu di kawasan Mukim Sengkurong, Mukim Pengkalan Batu dan Mukim Kilanas.

Semasa pemeriksaan tersebut seramai empat orang warga negara asing didapati dan dipercayai menyalahgunakan pas imigresen mereka dengan melakukan pekerjaan di beberapa buah permis perniagaan dan juga gerai nasi katok.


SALAH seorang pegawai penguatkuasa undang-undang bertugas membuat catatan ke atas warga negara asing yang dipercayai bekerja di negara ini.

Selepas pemeriksaan tersebut, warga asing berkenaan telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang Jabatan Imigresen untuk disoal siasat dan seterusnya bagi mendapatkan keterangan secara bertulis (dicatat).

Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang melalui JIPK sekali lagi mengingatkan agar warganegara asing tidak akan menyalahgunakan pas imigresen mereka dan begitu juga dengan pihak majikan agar tidak akan mengambil bekerja pesalah-pesalah imigresen atau mereka ini akan berdepan dengan tindakan undang-undang dan juga dihadapkan ke mahkamah jika sabit kesalahan.


SALAH seorang warga negara asing yang didapati bekerja di salah sebuah stor penyimpanan tile.

Dalam hubungan ini Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang JIPK akan sentiasa menjalankan atau melaksanakan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan sama ada secara persendirian atau bersama dengan agensi penguatkuasaan yang lain yang dinilai mengikut keperluan maklumat yang terkumpul.

Ke arah aktiviti penguatkuasaan tersebut jabatan berkenaan mengalu-alukan orang ramai sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen.


SALAH seorang pesalah imigresen sedang memasak di dapur.

Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya dengan menghubungi ke talian Hotline JIPK yang baru di talian 8734888 dan 8753888[Dipetik dari Akhbar Pelita Brunei].

 

Seterusnya>>

Seterusnya>>