HUBUNGI KAMI
MAKLUMAT TERKINI & BERITA
MUAT TURUN BORANG
HALAMAN UTAMA
STRUKTUR ORGANISASI
SEJARAH RINGKAS
TENTANG JIPK

PERKHIDMATAN
Hak Cipta Terpelihara© Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
Tarikh dikemaskini: 29 Jun 2009
Sesuai dipapar menggunakan:
Mozilla Firefox dengan resolusi 800x600

Operasi Sepadu di Tutong

TUTONG, Ahad, 26 Julai- Operasi Sepadu yang diketuai Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Ugama malam tadi telah memeriksa sebanyak 10 lokasi dengan pemeriksaan ditumpukan di kawasan Tutong, Pantai Seri Kenangan dan Kampung Penanjung.

Operasi yang membabitkan kira-kira 100 anggota termasuk dari Pasukan Polis Diraja Brunei, Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja serta Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Negara, bertujuan membanteras kegiatan tidak bermoral serta menyalahi undang-undang negara ini.

Operasi berjalan selama empat jam bermula pukul 11 malam dan berakhir pukul 3.30 pagi.

Sementara itu bahagian penguatkuasaan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dalam operasi tersebut melakukan pemeriksaan mengejut di kawasan penurun perahu tebing Sungai Tutong berhadapan gerai malam dan menahan dua buah kereta kerana didapati membawa dan memiliki minuman keras jenis beer, tiga botol minuman keras jenis arak dan sebotol minuman keras jenama lain yang tersimpan di belakang bonet kereta serta tempat duduk penumpang yang dipercayai untuk dijual.

Kedua-dua pemandu kereta warga tempatan itu dalam siasatan awal dipercayai sedang melepak di tebing sungai bersama-sama beberapa orang remaja lelaki dan perempuan. Pihak penguatkuasaan kemudian mengarahkan mereka hadir ke pejabat Kastam dan Eksais Diraja daerah Tutong manakala kereta dan minuman keras ditahan sebagai barang bukti - [Media permata]

Pemeriksaan biasa menahan pesalah Imigresen ketika berjaja kain.

 

Khamis, 23 Julai 2009- Dipercayai berjaja di kawasan simpang Jalan 612-64 Kampong Sungai Hancing, seorang lelaki warga Pakistan hari ini ditahan oleh pegawai penguat kuasa undang-undang dalam pemeriksaan biasa.

Dalam pemeriksaan itu, pegawai penguat kuasa mendapati lelaki terbabit sedang berjaja kain, lampit, pakaian dan beberapa barangan lain dengan menggunakan kereta dari sebuah rumah ke sebuah rumah di kawasan perumahan simpang jalan itu.

Siasatan awal mendapati lelaki warga Pakistan itu memegang pas kerja sebagai jurujual dengan sebuah syarikat tempatan. Dia kemudiannya dibawa ke ibu pejabat Imigresen bagi siasatan lanjut.

Sementara itu, OPS Bungkas 120/2009 juga dilancarkan malam tadi di gerai perayaan di ibu negara dan rumah sewa di Kampung Bengkurong Masin. Hasil dari pemeriksaan itu, seorang lelaki warga Pakistan diberikan pas khas bagi siasatan lanjut.

Dalam sebuah rumah sewa Kampung Bengkurong Masin, pegawai mengesan seorang lelaki warga Filipina yang sudah ditegah memasuki negara ini (List A) tapi masuk semula ke negara ini. Dia kini di tahan di Balai Polis Pusat bagi siasatan lanjut.

Jika terbukti, dia boleh didakwa di bawah Bab 36, Akta Imigresen Penggal 17 kerana masuk semula ke negara ini setelah diusir keluar dari negara ini secara sah oleh Pegawai Imigresen Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang.

Hukuman jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih daripada tiga tahun dan boleh didenda $6,000.

Warga Asing di tahan lagi melanggar peraturan Imigresen

Rabu, 22 Julai 2009- Kuala Belait, Seorang lagi lelaki warga India yang disyaki melanggar Peraturan 15 Peraturan Imigresen telah disiasat oleh Jabatan Imigresen Bahagian Penguatkuasaan cawangan daerah Belait dan Tutong.

Dalam laporannya hari ini jabatan itu menyatakan melalui Operasi Bungkas 118/2009 yang diadakan Isnin lalu disertai seramai tujuh pegawai dan diketuai Pegawai Imigresen Kanan mendapati lelaki terbabit membuat kerja menjahit pakaian sedangkan Pas Kerjanya adalah di atas jawatan Tukang Gunting.

Melalui siasatan awal mendapati lelaki itu melakukan kerja terbabit selama lapan bulan dan mendakwa disuruh majikannya dan dia kemudiannya dikeluarkan Pas Khas untuk siasatan lanjut sementara majikannya turut diarahkan hadir ke pejabat bahagian penguatkuasaan itu untuk membantu siasatan.

Jabatan itu menekankan mereka akan terus mengadakan pemeriksaan dan rondaan dari semasa ke semasa dan mengingatkan majikan supaya sentiasa mematuhi peraturan pas kerja yang dikeluarkan ke atas mereka dan tidak sewenang-wenangnya mengambil pekerja tanpa mengikut saluran yang sudah disediakan.

Operasi Bungkas 117/09 kesan kecuaian Majikan

Ahad, 19 Julai 2009 - Operasi Bungkas 117/09 dijalankan lagi di kawasan bangunan kedai di ibu negara dengan menyasarkan Kompleks Yayasan, wisma, bahagian komersial dan bahagian letak kereta bertingkat, dan seterusnyamembuat pemeriksaan ke atas warga asing yang melepak di kawasan terbabit.

Dalam operasi tersebut didapati masih ramai majikan yang gagal memberikan salinan pasport mengandungi cap Imigresen yang masih sah serta kad pengenalan pintar kepada pekerja mereka bagi memudahkan pegawai penguat kuasa membuat pemeriksaan.

Sementara itu percubaan salah seorang warga asing dengan memberikan salinan pasport orang lain yang mengandungi cap pas Imigresen yang masih sah dapat dikesan dan melalui pengendalian didapati cap pas kerja di dalam pasportnya bermasalah dan kes berkenaan masih dalam siasatan pihak Imigresen.

Lelaki berkenaan dinasihati melaporkan diri ke Bahagian Penguat Kuasa Imigresen dengan diberikan pas khas.

Di samping itu juga seorang perempuan warga Indonesia ketika permeriksaan dibuat, gagal menunjukkan pasportnya. Tetapi setelah menyerahkan pasportnya di pejabat Imigresen,didapati cap Imigresen (cap diarahkan keluar) sudah pun mansuh selama lima hari. Beliau beralasan tidak mempunyai wang untuk pulang dan beliau ditahan sementara di balai polis, di sini.

Selain itu pegawai penguat kuasa masih lagi menjalankan tapisan lanjut dan mereka yang didapati mansuh pas Imigresen akan ditahan sementara di Balai Polis di sini dan akan menghadapkan ke Mahkamah atau tindakan kompaun mengikut garis pandu serta undang-undang Imigresen pada Selasa depan.

Dalam pada itu orang ramai adalah di alu-alukan untuk memberikan kerjasama berhubung dengan pesalah Imigresen di talian 2383555, 2383777 atau 3331879, 3341938 atau 5221222, 5221221 atau 4221977 dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

Sembahyang Asar berjemaah, Solat Sunat Hajat dan Membaca Yaasin.

Khamis, 9 Julai 2009, Berikutan pandemik Influenza A (H1N1) yang semakin menular di negara ini, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan mengadakan sembahyang Asar berjemaah dan diteruskan dengan solat hajat yang diadakan disurau Ibu Pejabat, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.

Kira-kira 50 orang di kalangan pegawai dari Jabatan tersebut bersama-sama menunaikan Sembahyang Asar dan Solat Sunat Hajat berjemaah itu dan seterusnya membaca surah Yaasin beramai-ramai dipimpin oleh Haji Saiful Hazmi bin Haji Sulaiman, Ketua Pegawai Pendaftaran Kebangsaan Kanan.

Solat Sunat Hajat berkenaan bagi sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT supaya dihindari daripada bala berikutan pandemik Influenza A (H1NI1) supaya tidak terus menular dan menjejaskan kehidupan seharian penduduk di negara ini.

Hadir untuk sama-sama menyertai Solat Sunat Hajat tersebut ialah Pemangku Pengarah Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.

Ops Bungkas 108/09 tumpu rumah sewa warga asing

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 9 Julai 2009 - Ops Bungkas 108/09 malam tadi yang telah dijalankan oleh Unit Penguatkuasa Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan telah menjalankan siasatan ke tiga kawasan iaitu Nasi Katok Rindu Kg Sengkurong 'B', Surau Scout di Kg Beribi dan bilik serta rumah sewa di Kg Serasa.

Ops Bungkas yang bermula dari pukul 8.30 malam hingga 12.30 malam berjaya menahan seorang warga asing kerana dipercayai mansuh pas imigresen dan ditahan di Balai Polis Bandar bagi siasatan lanjut. Jika sabit kesalahan di bawah Bab 15 (1) Akta Imigresen Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa setelah pas imigresen mansuh, tindakan kompaun $600 boleh dikenakan tidak lebih 90 hari, penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih $4,000. Jika melebih 90 hari, penjara tidak kurang tiga bulan dan tidak lebih dua tahun dan sebat tidak kurang dari tiga kali sebatan.

Sehubungan itu, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan sentiasa mengadakan rondaan dan operasi pemeriksaan dan orang ramai digesa supaya memberikan kerjasama dengan memaklumkan pihak berkuasa jika mempunyai maklumat mengenai sebarang pelanggaran undang-undang imigresen. Orang ramai boleh menghubungi di talian 3331879, 3341938 bagi Kuala Belait, Daerah Brunei dan Muara 2383555 atau 2323777 sementara daerah Temburong di talian 5221222 atau 5221221 pada waktu bekerja.

Operasi enam agensi di Perairan

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 7 Julai 2009- Enam jabatan dan agensi kerajaan hari ini mengadakan operasi sepadu besar-besaran kali pertama di sempadan perairan Brunei yang melibatkan kira-kira 87 pegawai.

Agensi yang menyertai operasi ini adalah Pasukan Polis Marin, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Biro Kawalan Narkotik dan Jabatan Perikanan.

Operasi bersepadu yang pertama polis marin ini di ketuai Pegawai Operasi Kanan 1 ASP Haji Mahran Haji Ahmad. Operasi itu bertujuan membolehkan agensi penguat kuasa undang-undang bekerjasama membanteras dan mencegah jenayah di perairan negara ini. Selain itu, operasi itu merupakan persediaan awal sempena Ulang Tahun Ke-63 Hari keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi meninjau jenayah yang sering berlaku di perairan negara.

Dua warga Indonesia ditahan

Isnin, 6 Julai 2009- Pemeriksaan seperti biasa telah dijalankan hari ini oleh Unit Penguatkuasa Jabatan Imigresen dan pendaftaran Kebangsaan di kawasan projek pembinaan landskap Jalan 60 Simpang 49 Perpindahan Rimba hari ini.

Hasil dari pemeriksaan tersebut, dua orang warga Indonesia telah ditahan. Imam Rugianto setelah diperiksa didapati Pas Imigresen beliau telah mansuh selama 8 bulan manakala Yastakim tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah dan setelah disiasat telah masuk ke negara ini pada 2 Februari 2005.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan tidak kurang tiga bulan dan tidak lebih dua tahun dan tidak kurang tiga kali sebatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi di talian 3331879, 3341938, 2383555 atau 2383777 pada waktu bekerja. Pemeriksaan itu diketuai oleh Pemangku Ketua Pegawai Imigresen dan disertai oleh lapan orang pegawai penguatkuasa dari Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang Bandar Seri Begawan, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.

Operasi Mega - Operasi Ops Bungkas 107/2009 sempena Hari Imigresen ke 51 tahun

Sabtu, 4 Julai 2009- Sempena ulang tahun ke 51, anggota penguatkuasaan dari Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan hari ini mengadakan operasi Ops Bungkas 107/2009 di seluruh negara bagi memberkas warga asing yang menyalahi undang-undang di negara ini.

Operasi yang diketuai oleh Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan serta melibatkan seramai 147 pegawai Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dari ibu pejabat, pejabat-pejabat cawangan dan pos-pos kawalan di seluruh negara, bermula pada pukul 10.30 mlm sehingga 3 pagi. Operasi ini membabitkan tiga kawasan di Daerah Brunei Muara yang melibatkan sejumlah 42 bilik-bilik dan rumah-rumah sewa, enam kawasan di Daerah Belait dan lima di Derah Temburong dan Tutong.

Seramai 57 warga asing ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah. Di daerah Brunei Muara terdapat 26 warga asing telah ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri atau salinan pasport yang mengandungi pas imigresen yang sah manakala 17 orang telah diberi pas khas bagi tujuan siasatan.

Di daerah Belait, tiga warga asing ditahan, 19 diberi pas khas dan seorang warga tempatan pula diberikan 'surat panggilan'. Daerah Tutong pula merekodkan tangkapan 23 lelaki warga asing dan hanya seorang diberikan 'pas khas' manakala daerah Temburong mencatatkan tangkapan lima lelaki warga asing.

Ops Bungkas ini di antara lain bertujuan untuk menyatupadukan semua pegawai Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan di semua cawangan di negara ini dalam sama-sama menjalankan penguatkuasaan akta dan memastikan undang-undang negara ini dipatuhi oleh semua pihak.

Majlis Kempen Derma Darah-Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan

 

Khamis, 2 Julai 2009- Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan hari ini mengadakan Majlis Kempen Derma Darah sempena memperingati penubuhan jabatan ini kali yang ke 51 tahun. Majlis ini diadakan di Ibu Pejabat, Dewan Serbaguna, Tingkat 3, Jabatan Imigresen dan Pendfataran kebangsaan.

Kempen berkenaan diadakan sebagai satu aktiviti tahunan jabatan dan daripada itu, objektif jabatan berkenaan ialah memberikan perkhidmatan terbaik lagi padu kepada orang ramai. Dengan adanya kempen itu akan dapat melahirkan rasa kemesraan daripada pegawai dan kakitangan Jabatan serta orang ramai selaku pelanggan. Selain itu juga, akan dapat sama-sama menyumbangkan dan menghulurkan bantuan derma darah kepada sesiapa saja yang memerlukannya.

Derma darah adalah amat diperlukan terutama bagi pesakit kanser, leukemia, mangsa kemalangan, pesakit yang menjalankan pembedahan, kes kebakaran, mangsa cedera parah. Aktiviti menderma darah adalah satu amalan membanggakan yang sudah lama diamalkan di negara ini.

Menurut Pengerusi Majlis Kempen Derma Darah di Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan "Untuk makluman bersama aktiviti kempen menderma darah ini sudah pun pernah diadakan sebanyak lima kali yang juga bersempena dengan penubuhan Jabatan berkenaan."

"Saya sangat berbangga di atas respons diberikan para pegawai, kakitangan termasuk juga orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan pada majlis kempen derma darah ini".

Sebelumnya<< Seterusnya>>

Sebelumnya<< Seterusnya>>