HUBUNGI KAMI
MAKLUMAT TERKINI & BERITA
MUAT TURUN BORANG
HALAMAN UTAMA
STRUKTUR ORGANISASI
SEJARAH RINGKAS
TENTANG JIPK

PERKHIDMATAN
Hak Cipta Terpelihara© Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
Tarikh dikemaskini: 22 Oktober 2009
Sesuai dipapar menggunakan:
Mozilla Firefox dengan resolusi 800x600

Sertai 'Earth Hour', padamkan lampu 60 minit pada 27 Mac ini

RIMBA, Sabtu, 13 Mac. - Negara Brunei Darussalam akan menyertai negara-negara lain di seluruh dunia mengadakan Hari 'Earth Hour' pada 27 Mac 2010 nanti.

'Earth Hour' merupakan aktiviti global yang dijadualkan dan dikendalikan pada akhir bulan Mac setiap tahun di mana warga negara dunia diseru untuk memadamkan lampu-lampu selama 60 minit dari jam 8.30 hingga 9.30 malam secara sukarela.

Ia merupakan satu aktiviti simbolik perpaduan di antara semua individu di seluruh dunia bagi sama-sama menangani perubahan iklim yang dialami pada masa ini.

Jelasnya, kajian dari Institute Of Energy Economics Japan (IEEJ) yang dibentangkan pada ASEAN+3 Natural Gas Forum yang diadakan di Negara Brunei Darussalam pada Februari 2010 menyatakan penjimatan tenaga adalah merupakan satu langkah yang paling berkesan untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau yang mana gas berkenaan dipercayai penyebab kepada peningkatan pemanasan global.

Penyertaan negara dalam aktiviti itu tambah beliau menunjukkan keperihatinan masyarakat terhadap isu pemanasan global yang berlaku pada masa ini.

Menurutnya, perlu juga diingatkan bahawa aktiviti simbolik memadamkan lampu-lampu di bangunan-bangunan kerajaan, swasta dan kediaman-kediaman persendirian pada tarikh dan jam yang ditetapkan itu akan dapat dilaksanakan dengan cara yang tidak menjejaskan keselamatan.

"Penjimatan tenaga adalah tanggungjawab kita bersama. Pemakaian tenaga perlulah dilakukan secara bijaksana bagi mengelakkan pembaziran," ujarnya.

Oleh itu ujarnya, kerjasama semua pihak baik dari kerajaan, swasta dan orang ramai adalah perlu dalam mencapai matlamat penjimatan tenaga untuk berdaya saing.

Pada majlis tersebut, Taklimat 'Earth Hour' disampaikan oleh Awang Mohammad Rosmarimey dari e-Government National Centre (EGNC).

Taklimat dihadiri oleh lebih 100 pengetua dan timbalan pengetua, guru dan tenaga pengajar serta pelajar, ahli-ahli kelab tenaga dari sekolah-sekolah menengah kerajaan dan swasta serta maktab-maktab di negara ini.

Antara tujuan taklimat pada petang itu ialah untuk memberikan maklumat mengenai 'Earth Hour' dalam konteks Brunei Darussalam selain meningkatkan kesedaran terutama kepada para pelajar, ahli kelab tenaga di negara ini mengenai pentingnya penjimatan tenaga di samping mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan perubahan cuaca atau perubahan suhu global.

Taklimat diungkayahkan oleh Bahagian Tenaga di JPM dan disokong oleh Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP), Kementerian Pendidikan.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, aktiviti 'Earth Hour' dianjurkan oleh Tabung Hidupan Liar Dunia (World Wildlife Fund - WWF) di seluruh dunia bagi tahun ini sebagai salah satu langkah untuk terus menangani isu pemanasan global yang mempunyai kesan serius terhadap warga bumi.[Dipetik dari Akhbar Pelita Brunei].

Pasukan Bola Tampar KHEDN raih pingat emas

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 13 Mac - Pasukan Bola Tampar Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) menambah lagi kutipan pingat emas di Pesta Sukan Kementerian-kementerian Sempena Hari Perkhidmatan Awam Ke-16 dalam acara Bola Tampar Lelaki setelah mengenepikan pasukan Bola Tampar Kementerian Pertahanan dengan kiraan 3-2.

Pada set pertama Kementerian Pertahanan mendahului kutipan mata 25-23 dan menang pada set kedua 25-22 tetapi di set ketiga KHEDN berjaya mencuri satu set 14-25 dan seterusnya menyamakan kedudukan di set keempat 21-25 untuk seri 2-2.

Di set penentuan KHEDN terus memimpin perlawanan dengan mendahului 14-11 dan pada mata akhir 'spike' yang dibuat oleh 'spiker' KHEDN gagal ditanpan oleh pemain 'blocker' Kementerian Pertahanan sekali gus menamatkan pertandingan dengan KHEDN menambah kilauan emas.

Pada perlawanan akhir pagi tadi di Dewan Serbaguna Stadium Negara Hassanal Bolkiah itu Kementerian Pertahanan memenangi perak manakala Kementerian Hal Ehwal Ugama meraih gangsa.

Sementara itu dalam perlawanan akhir pasukan wanita yang diadakan terdahulu Jabatan Perdana Menteri meraih emas setelah mengalahkan Kementerian Pendidikan manakala Kementerian Pertahanan hanya membawa pulang gangsa.

Hadir menyempurnakan penyampaian pingat dan sijil ialah Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Perlawanan yang dikendalikan oleh Persatuan Bola Tampar Kebangsaan Brunei Darussalam itu disertai oleh 10 kementerian bagi acara lelaki dan hanya tujuh kementerian mengambil bahagian dalam acara wanita. Pesta Sukan Kementerian-kementerian Sempena Hari Perkhidmatan Awam Ke-16 2009 itu mempertandingankan 11 acara sukan. [Dipetik dari Akhbar Pelita Brunei].

 

JPM juara Pesta Sukan Kementerian-kementerian Sempena Hari Perkhidmatan Awam Ke-16

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 13 Mac. - Jabatan Perdana Menteri (JPM) muncul juara di Pesta Sukan Kementerian-kementerian Sempena Hari Perkhidmatan Awam Ke-16 apabila berjaya mendominasi sukan tersebut dengan kutipan 14 pingat emas, lapan perak dan tujuh gangsa.

Sementara menduduki tempat kedua jatuh kepada Kementerian Pertahanan dengan mengutip lapan emas, lima perak dan sembilan gangsa.

Tempat ketiga Kementerian Pendidikan dengan perolehan tujuh emas, sembilan perak dan lima gangsa.

Hadir menyempurnakan Majlis Penutupan Rasmi sukan tersebut Timbalan Menteri di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Eussoff Agaki bin Haji Ismail.

Sebelum Majlis Penutupan Rasmi, sebanyak tiga acara kemuncak telah diadakan seperti acara Lari 4 X 100 Meter Campuran Lelaki yang berpihak kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan mencatat masa 46.97 saat.

Manakala dalam acara Lari 4 X 100 Meter Campuran Wanita dimenangi oleh JPM dengan mencatat masa terpantas 59.41 saat dan dalam acara Lari 4 X 400 Meter Terbuka Lelaki dimenangi oleh Kementerian Pertahanan dengan masa 3;35.70 saat.

Kejohanan yang berlangsung selama lapan hari sejak 6 Mac lalu telah menyaksikan persaingan sihat dalam acara sukan yang bukan saja mampu memupuk kerjasama di antara kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, malah secara langsung mengajak cara hidup yang lebih sihat melalui sukan.

Sebanyak sebelas acara sukan telah dipertandingkan melibatkan hampir 2000 pegawai dan kakitangan kerajaan sebagai atlet, jurulatih mahupun pegawai teknikal yang merangkumi 12 buah kontinjen kementerian-kementerian.

Kedudukan carta medali: Bil Acara Emas Perak Gangsa Jumlah Pingat Kedudukan

1. Jabatan Perdana Menteri 14 8 7 29 1

2. Kementerian Pertahanan 8 5 9 22 2



3. Kementerian Pendidikan 7 9 5 21 3

4. Kementerian Pembangunan 5 5 4 14 4

5. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri 5 3 9 17 5

6. Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan 3 7 4 14 6

7. Kementerian Hal Ehwal Ugama 0 2 3 5 7

8. Kementerian Kewangan 0 1 1 2 8

9. Kementerian Perhubungan 0 1 1 2 8

10. Kementerian Kesihatan 0 1 1 2 8

11. Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan 0 0 1 1 9

12. Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama 0 0 1 1 9

[ Di petik dari Akhbar Pelita Brunei].

Kebawah DYMM Raja Isteri berangkat ke Majlis Perhimpunan Khas Wanita

Berangkat sama ke majlis yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas di sini ialah Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja lainnya dijunjung oleh Pengerusi Bersama Majlis Perhimpunan Khas Wanita Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Tahun 1431 Hijriah dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Majlis Wanita serta Ahli-ahli Jawatankuasa yang lain.

Majlis bermula dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur`an oleh pemenang tempat ketiga Majlis Tilawah Al-Qur'an Peringkat Antarabangsa Ke-51 di Kuala Lumpur Malaysia, Tahun 1430 / 2009, Dayang Hajah Nurul Akmalina binti Haji Yahya sementara kesimpulan maknanya dibacakan oleh pegawai dari KHEU, Dayang Hajah Siti Zaliha binti Haji Ibrahim.

Pengerusi Bersama Majlis Perhimpunan Khas Wanita tahun ini, Pegawai Tuga-Tugas Khas Kanan, KHEU, Dayang Hajah Zasia binti Sirin dalam sembah alu-aluannya menyatakan penglibatan kaum wanita dalam mempertahankan kedaulatan negara dan memelihara kesucian agama adalah tuntutan syarak yang wajib dipikul bersama.

Kaum wanita katanya, sama-sama bertanggungjawab menjaga keselamatan negara yang sudah 26 tahun mencapai kemerdekaannya dan bersama-sama menjadi benteng dalam membanteras virus-virus global yang melanda dunia hari ini dengan tenaga, fikiran dan doa bertepatan dengan tema sambutan Hari-hari Kebesaran Islam tahun 1431 Hijriah 'Ilahi Selamatkan Brunei Darussalam'.

Majlis diteruskan dengan Nadwah Khas yang membincangkan tajuk 'Wanita Beriman Tonggak Kepada Keselamatan Negara', dengan ahli panel terdiri dari Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin dan ahli panel yang diundang dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Fariza binti Md. Sham.

Ahli-ahli panel telah membincangkan ciri-ciri dan peranan wanita beriman yang dapat menjadi tonggak kepada keselamatan negara, bangsa dan agama. Acara kemuncak perhimpunan ialah penganugerahan Anugerah Bakti Hijrah Khas Wanita bagi Tahun 1431 Hijriah kepada empat penerima wanita yang berjasa menyumbangkan bakti dalam bidang perkembangan agama Islam, pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai bidang di negara ini.

Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan mengurniakan Anugerah Bakti Hijrah Khas Wanita Bagi Tahun 1431 Hijriah kepada para penerima tersebut.

Persembahan Dikir Marhaban yang dibawakan oleh gabungan pegawai-pegawai dan kakitangan KHEU, KKBS dan Ahli-ahli Majlis Wanita menutup tirai perhimpunan kaum wanita sempena menyemarakkan lagi sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Bagi memberkati majlis doa selamat telah dibacakan oleh Pengiran Anak Datin Paduka Hajah Masnah binti Pengiran Anak Safiuddin.

Majlis Perhimpunan Khas Wanita Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Bagi Tahun 1431 Hijriah ini dikendalikan bersama oleh KHEU, KKBS dan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam.[ Di petik dari Akhbar Pelita Brunei].

Sebelumnya<< Seterusnya>>

Seterusnya>>